Friday, March 19, 2010

Wakil rakyat PKR dicabar bersumpah....

KUALA LUMPUR 18 Mac – Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mencabar wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersumpah menafikan yang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak berbohong ketika menggerakkan misi 16 September 2008.

Beliau sendiri sanggup bersumpah untuk mempertahankan kenyataan pembongkaran yang dibuatnya termasuk wujud dakwaan Anwar bahawa Yang di-Pertuan Agong merestuinya sebagai Perdana Menteri keenam.

Baginya, tindakannya tidak lain daripada mahu menyedarkan wakil rakyat PKR yang mungkin tidak tahu hal sebenar.

‘‘Yang main peranan dalam rancangan untuk mengambil alih Putrajaya hanya dua tiga orang. Walaupun saya tidak terlibat dalam Biro Politik PKR tapi saya tahu perkara ini kerana saya sahabat baik Anwar,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, Zahrain menggegarkan sidang Dewan Rakyat apabila ‘memecahkan tembelang’ Anwar berhubung rancangan mengambil alih kerajaan Pusat 16 September.

Pendedahan itu juga menyebabkan Anwar ‘panas punggung’ sehingga bertindak meninggalkan sidang Dewan sebelum bekas orang kepercayaannya itu menghabiskan ucapan.

Zahrain antara lain mendedahkan yang Anwar telah membohongi wakil rakyat pembangkang kononnya jumlah ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan melompat parti menyertai pembangkang lebih daripada mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Anwar juga mendakwa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyokong pelantikannya sebagai Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Zahrain berkata, wakil rakyat yang dijangka keluar parti dan menjadi Bebas bukan sahaja daripada PKR malah dalam kalangan wakil rakyat parti pembangkang lain.

Ditanya hubungannya dengan Ketua Pembangkang itu setelah mendedahkan pembohongan berkenaan, Zahrain berkata, beliau akan terus menyapa jika Anwar turut sama berbuat demikian.

‘‘Saya juga berharap dapat bercakap dengannya secara bersendirian dan memperingatkan bahawa beliau tidak boleh memperbodohkan orang pada sepanjang masa,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, pada sidang akhbar berasingan tidak menafikan rancangan 16 September yang digerakkan oleh Anwar seperti didedahkan Zahrain.

‘‘Berkenaan 16 September, satu hakikat bahawa pakatan, Anwar dan PKR sendiri tidak pernah menafikan perkara berkenaan dengan usaha yang kita jalankan, sasaran kita 16 September (tukar kerajaan) dan ini menjadi rahsia umum,” katanya.

Tambah beliau, pakatan pembangkang tidak akan berubah untuk berdepan dengan BN sebagai musuh politik nombor satu walaupun dengan kehadiran ramai wakil rakyat Bebas.

‘‘Tapi sekarang ada satu pasukan tentera upahan yang ada sedikit menyekat laluan kita, tapi fokus kita tidak akan terkalih,” katanya.

# dlm petikan kenyataan di atas timbul p'tanyaan,adakah beliau sanggup b'sumpah dgn ape yg telah beliau lakukan sepnjg hidupnye...? Yg penting hanya Allah swt sahaja yg mengetahui segala2nya sape yg benar dan sape yg x benar....

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails