Saturday, October 16, 2010

Cuti bersalin 90 hari bergaji penuh..

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Kakitangan awam wanita akan diberi kemudahan cuti bersalin dengan bergaji penuh tidak melebihi 90 hari berbanding 60 hari ketika ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kakitangan berkenaan katanya, diberi fleksibiliti untuk menentukan tempoh cuti bersalin mereka tertakluk pada kelayakan keseluruhan jumlah cuti bersalin sebanyak 300 hari sepanjang tempoh perkhidmatan.

Menurut beliau, kerajaan memberi kemudahan tersebut kerana mengambil berat terhadap kerjaya dan kebajikan penjawat awam wanita yang memerlukan tumpuan menjaga keluarga terutamanya anak yang baru dilahirkan.

"Kerajaan juga telah merintis jalan dan membuka peluang kepada wanita berkelayakan memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam perkhidmatan awam dari semasa ke semasa.

"Pada akhir 2009, jumlah wanita menduduki Jawatan Utama Sektor Awam mencapai 30.5 peratus justeru itu, pihak swasta juga perlu memberi peluang kepada lebih ramai wanita menduduki jawatan pembuat keputusan khusus sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif," katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat petang ini.

Katanya, bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan, RM30 juta telah diperuntukkan antaranya untuk memperkenalkan Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal dan mengadakan Anugerah Perdana Usahawan dan Tokoh Aktivis Wanita sempena Hari Wanita mulai tahun 2011.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menyeru agar pihak swasta mengambil pekerja separuh masa wanita terutama suri rumah berikutan kerajaan telah menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 mulai 1 Oktober 2010.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan juga akan melaksanakan program perintis Small Office Home Office untuk wanita kurang upaya selama tiga bulan bagi melatih wanita OKU dalam pelbagai bidang kemahiran.

Beliau juga mengumumkan, kerajaan akan menyedia dan menjenamakan semula 40 buah Taska 1Malaysia yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu wanita yang tidak berkemampuan mendapat perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan awal yang berkualiti bagi anak-anak mereka.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails