Saturday, August 14, 2010

Sultan Azlan Shah bimbang..

IPOH 13 Ogos – Sultan Perak, Sultan Azlan Shah (gambar) menzahirkan kebimbangan baginda dengan sikap sebahagian daripada generasi baru yang semakin jauh fahamannya dengan salasilah dan asal-usul sejarah tanah air walaupun negara kini di ambang sambutan Hari Kemerdekaan ke-53.

Ini kerana titah Sultan Azlan Shah, kebelakangan ini telah terdengar suara-suara tuntutan yang sangat bercanggah dan bertentangan dengan semangat penyatuan warga di negara ini sebagai sebuah negara bangsa merdeka lagi berdaulat.

Dalam titah baginda sempena Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-147 yang diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam, baginda turut mengingatkan, Malaysia telah memilih sistem berkerajaan berteraskan prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

‘‘Sistem tersebut dicapai berdasarkan formula persepakatan di antara istana dan rakyat; masing-masing ada peranan tertentu terutama dalam suasana yang genting dan kritikal.

‘‘Ia memberi satu perimbangan peranan dan perimbangan kuasa demi menjamin kesejahteraan warga dan kestabilan negara,” titah baginda.

Malah titah baginda, kemuliaan institusi raja perlu didokong secara bersama dan peranan itu harus dilaksanakan dengan bijak oleh Raja Bergelar, Orang Besar dan Ahli-Ahli Dewan Negara Perak dalam menjaga nama baik dan imej institusi raja agar tidak tercemar.

Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-147 itu juga mengesahkan Datuk Mohd. Redzuan Mohd. Kushairi menyandang gelaran Orang Kaya-Kaya Shahbandar Paduka Indera, menggantikan Allahyarham Datuk Seri Mohd. Zulkifli Mohd. Kushairi yang meninggal dunia 6 Ogos 2009.

Mohd. Redzuan, 61, yang dilahirkan di Taiping, berkelulusan Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian daripada Universiti Malaya.

Sultan Perak turut berkenan melantik Datuk Seri Panglima Mohd. Azumi Mohamed, anak kelahiran Batu Gajah yang juga bekas pemain hoki negeri dan kebangsaan, sebagai Ahli Dewan Negara Perak.

Pelantikan yang berkuat kuasa semalam hingga 16 Mac 2012 itu bagi menggantikan tempat Allahyarham Datuk Ismail Shah Bodin.


No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails