Monday, May 17, 2010

Kegembiraan orang beriman di hari akhirat...

Al-Maraghi berkata: Allah SWT menambahkan keterangan secara terperinci mengenai keadaan hari kiamat berserta malapetakanya yang mengerikan. Semua itu diterangkan kepada manusia sebagai dorongan agar merenung dalil yang menunjukkan ke-Esaan dan kekuasaan Allah SWT.

Kebenaran hari kebangkitan berserta segala kejadian hari kiamat yang disampaikan melalui lidah rasul-rasul-Nya supaya mereka membekalkan diri dengan amalan soleh sebagai pelita untuk menerangi kegelapan hari kiamat itu.

Allah SWT menerangkan bahawa manusia ketika itu terbahagi kepada dua golongan:

1. Golongan yang sentiasa tersenyum, riang gembira seperti orang yang bertemu kekasihnya. Mereka itu adalah orang yang benar-benar percaya kepada kebenaran dan mengamalkannya.

2. Golongan yang mukanya berdebu, ditutupi asap hitam. Mereka adalah penentang Allah SWT dan rasul-Nya, menolak kebenaran yang dibawa dan enggan berbuat baik sesuai dengan perintah Islam.

Firman Allah SWT: Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat.

Ibn Abbas berkata: al-Shakhah merupakan salah satu daripada nama hari kiamat yang diagungkan Allah SWT dan selalu diperingatkan pada hamba-Nya.

Ibn Jarir berkata: Boleh jadi ia merupakan nama bagi tiupan sangkakala.

Sedangkan Syed Qutb berkata: Perkataan shakhah ialah bunyi yang gegak gempita hampir menembusi telinga ketika ia membelah udara sampai ke dalamnya dengan bunyi yang kuat dan mendesak.

Dengan nada yang keras ini, al-Quran mengadakan persediaan untuk menayangkan pemandangan selanjutnya iaitu pemadanan setiap individu lari dari orang yang paling dekat dengannya.

Firman Allah SWT: Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, dan ibunya serta bapanya, dan isterinya serta anak-anaknya.

Ibn Kathir berkata: Maksudnya dia mengetahui justeru, dia lari dan menjauh dari mereka kerana keadaan yang sangat menakutkan dan suasana yang tidak tenteram. Dalam hadis sahih disebutkan berkenaan dengan masalah syafaat.

Jika setiap Rasul di kalangan Ulul Azmi diminta memberikan syafaat di sisi Allah, maka dia akan mengatakan: "Saya pun bimbang nasib diriku ini".

Bahkan Nabi Isa a.s sendiri mengatakan: "Aku tidak meminta kepada-Nya kecuali untuk diriku sendiri bahkan aku tidak mampu meminta untuk Maryam walaupun dia ibu kandungku sendiri". Oleh yang demikian, Allah SWT berfirman seperti ayat di atas.

Firman Allah SWT: Kerana tiap-tiap seorang daripada mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.

# renung2 kan la dan selamat b'amal dgn lbh t'baik.....

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails