Wednesday, December 8, 2010

Tiada bukti baru..

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan, tidak wujud sebarang keterangan atau bukti palsu dalam penyiasatan kes mata lebam Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Katanya, ia terbukti apabila semakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati tiada apa-apa yang boleh menunjukkan berlakunya keterangan palsu dalam penyiasatan itu.

Justeru katanya, pendakwaan yang dibuat ke atas bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor berhubung kes itu kerana mendatangkan kecederaan terhadap Anwar dibuat berdasarkan bukti yang ditemui dalam penyiasatan.

Sehubungan itu, katanya, PDRM berpandangan pertuduhan ke atas Abdul Rahim adalah selaras dengan keterangan yang dikumpul pihak polis.

"Abdul Rahim telah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan beliau telah pun mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut," katanya.

Hishammuddin berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada perkara dibangkitkan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) pada sesi penggulungan perbahasan Bajet 2011 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Kit Siang antaranya meminta kementerian mengkaji semula siasatan kewujudan bukti palsu berhubung kes mata lebam Anwar berdasarkan dakwaan dalam surat terbuka bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ismail bertarikh 8 Oktober 2010 seperti yang tersebar di Internet sebelum ini.

Kit Siang turut meminta supaya dakwaan bukti palsu dalam kes itu dikaji semula untuk melindungi kredibiliti kebebasan dan imej PDRM.

Penasihat DAP itu turut mendakwa sistem keadilan negara telah merosot sambil memetik kenyataan Mat Zain tersebut dan meminta seorang lagi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bertanggungjawab terhadap sistem keadilan jenayah yang didakwanya kucar-kacir.

Hishammuddin menjelaskan, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM2,000 terhadap Abdul Rahim ekoran pengakuan bersalahnya itu dan hukuman penjara ke atas beliau sudah selesai serta kini sudah dibebaskan.

"Justeru, ingin saya nyatakan bahawa tidak berlaku apa-apa kucar-kacir di dalam sistem keadilan jenayah di negara ini ekoran kejadian tersebut sebagaimana dakwaan Yang Berhormat.

"Prinsip pengasingan kuasa memperuntukkan polis menjalankan siasatan jenayah manakala Jabatan Peguam Negara bertanggungjawab menjalankan pendakwaan sebagaimana Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, dan mahkamah pula berfungsi sebagai tempat untuk mendengar dan membicarakan kes, adalah masih utuh," katanya.

Justeru katanya, ketiga-tiga badan itu masih memainkan peranan yang ditetapkan agar tidak berlaku sebarang campur tangan dalam perkara-perkara yang membabitkan sistem keadilan jenayah di negara ini.

# petikan ini dari akhbar utusan Malaysia 6dis10....... renung2kan la

demi agama, bangsa & negara.......

Related Posts with Thumbnails