Saturday, October 16, 2010

Cuti bersalin 90 hari bergaji penuh..

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Kakitangan awam wanita akan diberi kemudahan cuti bersalin dengan bergaji penuh tidak melebihi 90 hari berbanding 60 hari ketika ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kakitangan berkenaan katanya, diberi fleksibiliti untuk menentukan tempoh cuti bersalin mereka tertakluk pada kelayakan keseluruhan jumlah cuti bersalin sebanyak 300 hari sepanjang tempoh perkhidmatan.

Menurut beliau, kerajaan memberi kemudahan tersebut kerana mengambil berat terhadap kerjaya dan kebajikan penjawat awam wanita yang memerlukan tumpuan menjaga keluarga terutamanya anak yang baru dilahirkan.

"Kerajaan juga telah merintis jalan dan membuka peluang kepada wanita berkelayakan memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam perkhidmatan awam dari semasa ke semasa.

"Pada akhir 2009, jumlah wanita menduduki Jawatan Utama Sektor Awam mencapai 30.5 peratus justeru itu, pihak swasta juga perlu memberi peluang kepada lebih ramai wanita menduduki jawatan pembuat keputusan khusus sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif," katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat petang ini.

Katanya, bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan, RM30 juta telah diperuntukkan antaranya untuk memperkenalkan Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal dan mengadakan Anugerah Perdana Usahawan dan Tokoh Aktivis Wanita sempena Hari Wanita mulai tahun 2011.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menyeru agar pihak swasta mengambil pekerja separuh masa wanita terutama suri rumah berikutan kerajaan telah menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 mulai 1 Oktober 2010.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan juga akan melaksanakan program perintis Small Office Home Office untuk wanita kurang upaya selama tiga bulan bagi melatih wanita OKU dalam pelbagai bidang kemahiran.

Beliau juga mengumumkan, kerajaan akan menyedia dan menjenamakan semula 40 buah Taska 1Malaysia yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu wanita yang tidak berkemampuan mendapat perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan awal yang berkualiti bagi anak-anak mereka.

Bergerak ke arah negara maju..

Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, semalam.

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2011, belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dalam usaha Malaysia bergerak ke arah mencapai negara maju menjelang 2020. Bajet itu yang menyaksikan peruntukan keseluruhan kerajaan berjumlah RM212 bilion, menggariskan pelan strategi dan projek- projek utama ke arah mentransformasi negara mencapai sasarannya. Perdana Menteri ketika pembentangan bajet berkenaan berkata, cadangan peruntukan yang dibuat itu berjumlah RM212 bilion, 2.8 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan pada 2010. Daripada jumlah peruntukan itu, RM162.8 bilion akan digunakan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM49.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan. “Bajet 2011 mendakap semangat dan realiti pentadbiran terkini yang mengangkat Konsep 1Malaysia sebagai falsafah induk memandu hala tuju negara, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi pula menjadi peta panduan. “Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Model Baru Ekonomi dengan lapan terasnya, pula membentuk kerangka kerja ke arah hala tuju tersebut dan akan diterjemah melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11),’’ katanya. Pengumuman bajet yang menyeluruh itu menyaksikan tumpuan diberikan ke arah memenuhi keperluan rakyat dan juga memberikan insentif dan melaksanakan projek yang mampu merancakkan lagi ekonomi negara. Pada pembentangan itu, Perdana Menteri juga tidak melupakan usaha membangunkan modal insan, tumpuan pada pendidikan dan kepentingan kebajikan kakitangan awam termasuk pemberian bantuan khas kewangan. Bajet 2011 juga mementingkan peningkatan kualiti hidup ketika negara bergerak untuk memantapkan ekonomi yang telah berkembang dengan baik. Menurut Perdana Menteri, pertumbuhan ekonomi yang baik telah menyaksikan kerajaan menyemak semula kadar berkenaan bagi tahun ini kepada tujuh peratus berbanding enam peratus sebelum ini. Tambah beliau, angka tersebut jauh lebih tinggi berbanding negatif 1.7 peratus pada tahun 2009. Najib berkata, prestasi ekonomi akan terus diupaya oleh peningkatan pengeluaran sektor pembuatan yang berkembang pada 10.8 peratus, perkhidmatan 6.5 peratus dan pembiayaan 4.9 peratus, manakala perbelanjaan pelaburan dan penggunaan swasta masing-masing 15.2 peratus dan 6.7 peratus serta eksport 11.6 peratus. Sektor pembuatan pula kekal menerajui pertumbuhan, berkembang 6.7 peratus dan perkhidmatan 5.3 peratus. Menurut Perdana Menteri, penunjuk utama ke arah pengukuhan ekonomi domestik adalah lonjakan Indeks Komposit Bursa Malaysia kepada 1,496 mata pada 14 Oktober lalu yang merupakan antara tertinggi sejak Februari 2008.

Wednesday, October 13, 2010

Anwar dakwa mampu selesai masalah Malaysia-Indonesia segera

JAKARTA 12 Okt. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengunjungi Indonesia hari ini mendakwa pertikaian dan masalah Malaysia-Indonesia boleh diselesaikan segera jika beliau menjadi Perdana Menteri.

Dakwanya, beliau hanya memerlukan beberapa minggu sahaja untuk mencari jalan penyelesaian terhadap segala kemelut yang berlaku melibatkan kedua-dua negara.

Dalam wawancara dengan stesen televisyen TVOne, Anwar berkata, tujuannya ke Indonesia adalah bagi menyatakan tidak ada sentimen memusuhi dan menghina negara itu, melainkan kalangan mereka yang jahil, dangkal atau sombong.

Anwar juga dengan angkuh mendakwa beliau lebih memahami sistem pemerintah di Indonesia kerana mendukung demokrasi, berbanding pihak pemerintah Malaysia.

Selain itu, Anwar yang dilihat berang dengan tindakan media Malaysia mendedahkan kepincangan yang berlaku di dalam PKR mengambil kesempatan ketika wawancara tersebut untuk melabelkan media di Malaysia sebagai menjijikkan kerana menjadi alat propaganda kepada kerajaan.

Difahamkan, Anwar berada di Indonesia sejak semalam, bagaimanapun tidak diketahui apa tujuan kunjungan berkenaan yang merupakan kali kedua dalam tempoh tidak sampai dua minggu.

Sementara itu, Anwar pada sidang akhbarnya selepas pertemuan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Indonesia, Priyo Budi Santosa, berang apabila ditanya mengapa beliau tidak hadir pada sidang Dewan Rakyat di Malaysia, sebaliknya sibuk mengadakan pertemuan dengan ahli Parlimen Indonesia.

Tanpa menjawab pertanyaan itu beliau terus menyerang wartawan Utusan Malaysia sebagai berniat jahat.

"Akhbar ini milik UMNO kerja mereka hanya serang saya dan tidak pernah beri ruang bebas, kehadiran saya di sini juga tidak disenangi dan diserang sebagai tidak setia kepada negara," katanya.

Anwar juga menuduh Utusan Malaysia tidak pernah melaporkan Perdana Menteri dan menteri-menteri yang tidak hadir pada sidang yang sama kerana akhbar berkenaan dikawal oleh UMNO.

Sedangkan kata Anwar, semalam beliau hadir di Dewan Rakyat dan bertanyakan soalan kedua sebelum bertolak ke Indonesia pada sebelah petangnya.

"Kepada Utusan Malaysia saya ingin nasihat, Indonesia itu tidak semuanya tenaga kerja (TKI), tidak semua kongsi, tidak semua reformasi huru-hara, akhbar di sini beri liputan lebih adil, reformasi sangat bererti untuk mematangkan demokrasi, pertumbuhan ekonomi Indonesia jauh lebih baik daripada Malaysia dan pelaburan Indonesia juga jauh lebih baik," kata Anwar yang sering menggambarkan bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri pada bila-bila masa sahaja. - utusan


# kita sbg rakyat Malaysia boleh b'fikir secara rasional

selepas baca artikel dari keratan sebuah akhbar nie dan

boleh menilai samada baik atau tidak...

Jika hendak menyelesaikan masalah di negara org lain,

pastikan masalah di negara sendiri diselesaikan dahulu

dengan baik tanpa timbul huru hara dlm setiap masalah...


Related Posts with Thumbnails